Wahai Lelaki, Jadilah Kamu Lelaki!

Dalam Islam, kaum lelaki mempunyai tanggungjawab yang lebih besar berbanding kaum perempuan. Lelaki dilebihkan ke atas perempuan dalam banyak perkara, tanpa menafikan kelebihan perempuan dalam sesetengah perkara. Hakikatnya,  mereka saling memerlukan antara satu sama lain.

Allah SWT berfirman: “Lelaki (suami) itu qawwam bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dan hartanya…” (An-Nisa’ ayat 34)

Lelaki diberi kelebihan yang disertai tanggungjawab. Perempuan juga mempunyai kelebihan yang setaraf dengan tanggungjawab mereka. Islam telah menaikkan taraf perempuan dengan begitu tinggi jika dibandingkan sebelum kedatangan Islam mahupun apa yang dapat kita lihat di barat pada hari ini.

Barangkali, berlakunya banyak kerosakan pada hari ini ekoran kaum lelaki tidak berfungsi sepenuhnya.  Bagaimana dan mengapa fungsi itu tidak berjalan berkait dengan kesedaran kaum lelaki mengenai peranan mereka.

Jika kita perhatikan,  watak mereka yang membawa Islam pada zaman awalnya adalah mereka yang berjiwa kelakian yang sejati. Mereka yang terpilih itu, sememangnya dipilih untuk menerajui umat sehingga kurun yang mereka hidup dikenali dengan sebaik-baik kurun.

Saya tentu sekali suka membawa contoh kisah Sahabat-Sahabat Nabi Ridhuanullah ‘Alahim Ajma’in yang mana kisah mereka terukir dengan tinta emas. Antaranya kisah Mus’ab bin Umair RA yang menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman.

Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita pada jiwa kelakian yang sebenar.  Ketegasannya mempertahankan prinsip yang tidak berbelah bahagi sekalipun teruji dengan sangat hebat. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang hakiki sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam.

Menjadi Lelaki 100%

Pada saya, lelaki 100% itu ada pada suri teladan kita, Nabi Muhammad S.A.W. Baginda adalah lelaki sejati dengan sifat kelakian yang sempurna.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzab, ayat 21)

Teladan yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah memperlihatkan ‘amal kulli dan mutawazin. Amal yang merangkumi semua aspek kehidupan baik daripada sudut fikri mahupun daripada sudut siasi.

Saya selaku lelaki memahami cabaran menjadi lelaki pada masa sekarang. Kaum lelaki teruji dalam suasana nilai-nilai Islam jauh dalam kehidupan masyarakat. Suasana sekarang tentunya tidak sama apabila kaum perempuan juga telah berada di taraf yang sama dengan kaum lelaki dalam hampir semua perkara.

Justeru, kaum lelaki benar-benar perlu berada di posisi sebenar mereka. Wahai kaum lelaki, jadilah seorang yang layak untuk dirimu bergelar lelaki.