Bersikap Warak Hatta Bersendirian

solomon_and_sparrows_by_miladps3_d5s2gc6-fullview

Ibnu Athaillah As Sakandari rhm. berkata, “Jika engkau tidak memiliki sikap warak kepada Allah yang dapat mencegahmu daripada melakukan maksiat ketika bersendirian, taburkan tanah ke atas kepalamu.” (Tajul Arus)

Keadaan ini dialami oleh banyak antara kita. Sesuai dengan tabiat, manusia merasa malu untuk melakukan dosa ketika di hadapan orang lain. Namun, ketika sepi dan bersendirian, dia melakukan bermacam-macam dosa.

Apakah makna dan hakikat warak yang disebutkan oleh Ibnu Athaillah? Secara harfiah, warak bererti takut. Secara istilah warak bermakna melenyapkan sesuatu yang syubhat. Warak terwujud dengan meninggalkan segala sesuatu yang menimbulkan keraguan dan melakukan apa pun yang tidak menimbulkan keraguan. Jadi, sikap warak bergantung kepada tingkat rasa takut yang dimiliki seseorang.

Warak juga mengandungi makna menjauh dan menghindari, yakni menghindari segala sesuatu yang dibenci oleh Allah. Sikap warak inilah yang mendorong manusia menjauhi semua larangan, baik ketika dia bersendirian mahupun ketika bersama dengan orang lain.

Nabi saw mengungkapkan makna warak dalam satu kalimah. Baginda bersabda, “Antara tanda baiknya keislaman seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang sia-sia.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Orang yang warak akan meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baik dengan berfikir perkataan atau tindakan. Warak bersumber daripada rasa takut kepada Allah. Teladan terbaik kita dalam sikap warak adalah Nabi saw.

Al Bukhari dalam shahihnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra. bahawa Nabi saw bersabda, “Ketika kembali kepada keluargaku, aku menemui sebutir kurma jatuh ke tanah. Aku mengambilnya untuk kumakan. Namun, muncul kekhawatiran jika kurma itu adalah kurma daripada zakat sehingga aku mengembalikannya.”

Nabi saw bersikap sangat berhati-hati sehingga tidak jadi makan kurma itu kerana takut berasal daripada zakat. Bagi Nabi saw, itu dianggap syubhat kerana tidak jelas kehalalanya sehingga baginda enggan memakannya.