Hari Raya: Meraih Pahala, Menghindar Dosa

Selamat datang, ya Syawal. Bantu kami untuk istiqamah beribadah sebagaimana Ramadhan telah mengajar kami ~ Photo by Snitch88 of Deviant Art.

Hari raya telah tiba. Tiba-tiba terasa masa begitu pantas meninggalkan kita. Tetapi begitulah sifat masa. Tinggal kita yang perlu mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat agar kita tidak terus tertinggal.

Ramadhan tahun ini, telah selesai kita lalui. Cubalah bertanya kepada diri, “Apa yang telah aku buat pada Ramadhan?”

Kita akan tersenyum dan bersyukur jika kita telah melayan Ramadhan dengan baik. Tetapi kita sewajarnya bersedih jika sebaliknya. Sesungguhnya Ramadhan itu adalah hadiah daripada Allah SWT kepada kepada hamba-hambaNya untuk membersihkan diri.

Justeru, pada Hari Raya, kita sepatutnya telah berjaya membersihkan diri daripada kotoran-kotoran yang telah mencemari fitrah kita selaku hamba kepada Allah SWT.

Antara Sedih Dan Gembira

Rasa sayu dan sedih pasti dirasa oleh mereka yang melihat Ramadhan sebagai hadiah yang berharga. Dengan ganjaran yang sangat hebat dijanjikan sempena Ramadhan, orang yang beriman tentu berasa kehilangan. Perginya Ramadhan, pergi juga bersamanya banyak fadhilat:

1) Peluang untuk meraih syurga yang terbuka luas, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu.

2) Tawaran pengampunan dosa-dosa lalu untuk mereka yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim.

3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih.

4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat.

5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa.

Namun, itu tidak bermakna mereka tidak boleh bergembira. Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang diterima oleh Islam.

“Sesiapa yang merasa gembira apabila dia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri mukmin sejati ” (Riwayat At-Tirmizi, Hasan Sohih ; Al-Haithami, perawinya sohih)

Meraih Pahala Di Hari Raya

Mandi, memakai wangian, memakai pakaian yang baik bagi lelaki seperti hari jumaat, bagi menzahirkan nikmat Allah dan bersyukur di atas nikmat tersebut.

Makan dahulu sebelum keluar menunaikan solat.

Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi).

Bertakbir ketika hendak pergi menunaikan solat sunat hari raya, selepas solat subuh, dengan tenang, bersopan dan dalam keadaan berjalan kaki, dengan keinginan untuk menambahkan pahala.

Menunaikan zakat fitrah sebelum manusia keluar untuk menunaikan solat.

Bersikap pemurah kepada ahli keluarga, banyakkan bersedekah bagi mengelak orang yang memerlukan dari meminta-minta, menzahirkan perasaan riang di muka ketika berjumpa dengan orang lain, menziarahi kaum kerabat dan sahabat handai, menzahirkan perasaan gembira, menguatkan hubungan ukhuwah, sunat ucapkan tahniah dengan hari raya. Terdapat satu riwayat hadis:

Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah SAW, apabila mereka berjumpa pada hari raya, mereka ucapkan sesame mereka “Moga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.”

Diharuskan bergembira pada hari raya: bergembira pada perkara yang dibenarkan, nyanyian yang baik; seperti nasyid, untuk merehatkan jiwa.

Menghindar Dosa Di Hari Raya

~Beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan.~

Penutup: Semoga Allah SWT Redha Dengan Kita

Menurut Nabi Muhammad SAW Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia menghadap Allah SWT.

Hari Raya adalah hari kemenangan. Hari untuk meraikan kejayaan kembali kepada fitrah. Namun, berwaspadalah. Hari itu mungkin pula memperlihatkan kegagalan jika kita meraikan dengan cara yang tidak syarak.

Selamat Hari Raya Idil Fitri.

“Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Solehal A’Mal”

Sekian dahulu,

Hazarulhisham Zaid,

http://www.hazarulhisham.wordpress.com

1 Syawal 1432 H

29 Ogos 2011