Nikmat Ada Ayah dan Ibu


 

 

Mereka umpama nyawa dan jiwa saya- Gambar terbaru ayah dan ibu tercinta.

Mendengar nasihat seorang murobbi, ustaz Kazim b. Elias yang bercerita tentang jasa ayah dan ibu mendorong saya menulis artikel ini. Mendengar kata-kata beliau, saya merungut terhadap diri sendiri.

Bagaimana tidak? Saya masih belum layak menjadi anak yang berbakti kepada ayah dan ibu.

Saya berusaha mengingatkan diri tentang nikmat mempunyai ibu bapa. Ia antara nikmat agung yang dimiliki manusia yang tahu menilainya. Ketika saya menulis artikel ini, saya merasakan nikmat ini sudah cukup membuat saya rasa bahagia. Namun, seperti biasa saya juga manusia yang lemah. Saya sering lupa menghargainya pada masa yang lain. Terasa seperti jarang sekali saya membuat mereka bahagia seperti apa yang saya rasa.

Saya berasa bersalah terhadap ayah dan ibu. Saya tidak mungkin memberi seperti apa yang telah saya terima meskipun saya memberi semua yang saya miliki sekarang termasuklah nyawa saya sendiri.

Saya mungkin mampu memberi wang yang banyak kepada mereka kelak, tetapi ia tidak mungkin sama dengan wang beberapa ringgit yang mereka berikan untuk belanja sekolah saya dahulu.

Ya, seribu ringgit yang saya berikan tidak dapat menandingi seringgit yang saya terima. Bezanya bukan terletak pada angka, tetapi pada nilai wang itu. Nilai wang mereka ada pada keikhlasan mereka untuk melihat saya membesar dan tumbuh sebagai seorang yang berjaya sedangkan saya tidak mungkin berbuat begitu.

Saya merasa beruntung kerana dibesarkan dalam persekitaran yang saya kira positif jika dibandingkan dengan sebahagian teman-teman saya. Saya tidak dibesarkan dengan kemewahan atau sebaliknya, tetapi secara sederhana. Kesederhanaan inilah yang banyak mengajar saya.

Ibu dan Ayah tidak manjakan saya dan tidak juga membiarkan saya. Mereka mendidik saya dengan penuh tanggungjawab. Ada ketika mereka mengawal saya dan ketika lain mereka membiarkan saya belajar berdikari. Semua itu telah membentuk diri seperti mana saya pada hari ini.

Belajar Daripada Ayah

Ayah saya seorang yang tegas. Disebalik ketegasannya tersembunyi kelembutan. Sebagai ketua keluarga sikap sebegitu sememangnya perlu. Berhadapan dengan bermacam-macam kerenah anak-anak lelakinya menuntut ketegasan yang sewajarnya.

Ketegasan ini menimbulkan rasa hormat dalam kalangan kami, empat saudara. Ketegasan itu juga tidak menghalang kami bergurau dengan ayah kerana sebenarnya ayah saya suka membuat lawak walaupun banyak daripada lawaknya tidak menjadi.

Salah satu daripada sekian banyaknya sikap yang saya kagum pada ayah adalah caranya yang mudah masuk dengan orang lain. Orang yang tidak mengenalinya pun akan merasa selesa berangkali. Saya masih belum dapat mencontohi beliau pada sisi ini. Karektor-karektor seperti ini menjadikannya seorang ayah yang ‘hampir sempurna’ pada mata saya.

Belajar Daripada Ibu

Ibu saya seorang yang lemah-lembut. Disebalik kelembutannya tersembunyi ketegasan. Ia seperti berlawanan dengan karektor ayah saya. Pertentangan karektor itu menjadikan mereka saling melengkapi.

Saya banyak belajar memahami watak wanita melalui ibu saya. Belajar bagaimana cara wanita berfikir, memberi reaksi dan sebagainya. Saya menjadikan ibu saya sebagai rujukan utama dalam perkara ini. Mungkin setiap wanita berbeza cara mereka, tetapi saya percaya ciri-ciri wanita yang baik ada pada ibu saya.

Dibesarkan dalam lingkungan yang dikuasai golongan lelaki sedikit-sebanyak membentuk karektor diri saya sebagai seorang yang segan terhadap golongan wanita. Adik-beradik saya semua lelaki, kebanyakan sepupu-sepupu dan teman-teman adalah lelaki, ditambah sekolah terakhir saya adalah sekolah lelaki.

Dunia saya seolah-olah agak jauh daripada dunia wanita. Mungkin saya nampak seperti bersahaja, hakikatnya saya agak gementar apabila berhadapan dengan kaum Hawa.

Saya ingin menjadikan ayah dan ibu sebagai mentor untuk saya membina keluarga bahagia pada masa depan, insyaAllah Taala. Masa itu mungkin masih lama atau mungkin sahaja sudah hampir. Saya sendiri tidak pasti. Tetapi saya tetap berusaha mempersiapkan diri untuk tujuan itu.

Hakikatnya, Saya bukan sahaja ingin melihat ayah dan ibu bahagia sekarang mahupun apabila sudah tua kelak jika Allah mengizinkannya. Tetapi saya mahu kasih saya pada ayah dan ibu berjaya menembusi akhirat. Saya ingin bersama-sama mereka di syurga Allah kerana Allah jualah saksi kasih saya kepada mereka.

Pedoman Daripada Perkongsian Ini

Tujuan saya menulis artikel ini bukanlah untuk menunjukkan saya seorang anak yang baik, tahu mengenang jasa ibu bapa. Tetapi saya mahu mengingatkan kita terutamanya saya sendiri yang selalu alpa. Manusia tidak lari daripada sikap lupa. Maka, manusia perlu sentiasa dingatkan dari semasa ke semasa supaya lupa tidak menjadikannya alpa.

Berapa ramai hari ini manusia yang lupa kepada ibu bapa mereka apabila sudah berjaya kononnya. Rasanya tidak perlu lagi saya huraikan panjang lebar, semuanya sudah terang lagi bersuluh. Lihat sajalah masyarakat di sekeliling kita, pasti kita dapat merasakannya.

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa” (HR. Tirmizi)

Hadis ini menjelaskan tentang hubungan seorang anak dengan ibu bapa memiliki kaitan dengan hubungan  dengan Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibu bapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut selagi tidak melanggar syariat agama. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibu bapanya, maka Allah juga murka kepadanya.

Para Ulama’ Islam sepakat bahwa hukum berbuat baik (berbakti) kepada ibu bapa hukumnya adalah wajib berdasarkan dalil-dalil yang cukup banyak.

Sembahlah Allah dan jangan kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa” (AnNisa’: 36)

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya (al-Isra’: 23)

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya dalam dua tahun. Maka bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu, hanya kepadaKulah kembalimu. (Luqman: 14)

Berkata Ibnu Abbas r.a “Tiga ayat dalam al-Qur’an ini saling berkaitan dimana tidak diterima salah satu tanpa yang lainnya…maka, barangsiapa yang bersyukur kepada Allah akan tetapi dia tidak bersyukur pada Ibu Bapa, tidak akan diterima (rasa syukurnya) dengan sebab itu.” (Al Kabaair oleh Imam Adz Dzahabi).

Mari Berdoa Untuk Ayah Dan Ibu

Jika saya ditanya bagaimana cara terbaik membalas jasa ibu bapa? Maka saya suka menjawab, berusahalah menjadi anak yang soleh atau solehah, kemudian jangan pernah lupa mendoakan keduanya. Doa anak begitulah yang sangat ditagih ibu bapa terutama apabila mereka telah pergi dahulu meninggalkan kita di dunia.

“Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan ibu bapaku serta orang-orang mukmin pada hari terjadinya hari hisab (hari kiamat).” (Ibrahim: 41)

Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktuku kecil. (al-Isra’: 24)

Ya Allah,
rendahkanlah suaraku bagi mereka
perindahlah ucapanku di hadapan mereka
lunakkanlah watakku terhadap mereka
lembutkan hatiku untuk mereka.

Ya Allah,
berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya
atas didikan mereka padaku dan pahala yang besar
atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku
peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
atau kesusahan yang mereka derita kerana aku
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku
jadikanlah itu semua penyebab susutnya
dosa-dosa dan bertambahnya pahala kebaikan mereka
dengan perkenanMu, ya Allah
hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan.

Ya Allah,
bila maghfirahMu telah mencapai mereka sebelumku,
izinkanlah mereka memberi syafa’at untukku
tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi
syafa’at untuk mereka, sehingga kami semua berkumpul
bersama dengan santunanMu di tempat kediaman
yang dinaungi kemulianMu, ampunanMu serta rahmatMu.

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha
Agung, anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah
yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

Amin Ya Rabbul Alamiin…

Waallahua’lam.

1 thoughts on “Nikmat Ada Ayah dan Ibu

Tinggalkan komen